Thursday, August 29, 2013

Syawal tanpa Ayah disisi....

Salam,

Begitu lama aku mengambil masa nak menulis post ini. Hati sayu dan mata masih bergenang bila mengingatkan pemergian Ayah pada 24 Ramadhan bersamaan Jumaat 2 Ogos yang lepas.Pemergian Ayah yang begitu mengejut akibat jatuh di ruang tamu pada 17 Ramadhan. Kemudian Ayah dibawa ke hospital HTAA Kuantan dan menjalani pembedahan membuang darah beku di kepala.

Lepas pembedahan, Ayah ditidurkan selama 72 jam. Itu memang prosedur kata doktor sebab tak nak bagi tekanan pada kepala. Selama tempoh Ayah tidur di ICU, kami setia menunggu. Terutama Kak Ngah dan Mama. Aku terpaksa balik ke KL, sebab urusan kerja. Dalam hati dan solatku  sepanjang masa, aku sentiasa berdoa agar  Ayah sembuh seperti sedia kala. Yelah, Ayah sihat sebelum ini, dan ini cuma kemalangan kecil.Aku optimis Ayah akan bangun dari tidur dan sembuh macam biasa.

Sepanjang Ayah tidur, tiada komplikasi yang serius.Cuma darah Ayah cair sebab Ayah makan Aspirin, ubat pencair darah untuk mengelakkan risiko serangan jantung. Pada mulanya agak sukar mencari darah yang compatible sebab darah Ayah dari kumpulan A-. Namun, dengan kecekapan pihak hospital, mereka  dapat menghubungi penderma darah A- untuk turut mebantu. Ramai rakan taulan, sahabat handai dan saudara mara yang turut datang untuk screening darah di Pusat Darah HTAA untuk membantu. Terima kasih yang tak terhingga kepada yang sudi datang.....

Namun ajal maut sudah ditetapkan......

Jumaat, 2 Ogos seperti biasa aku akan telefon Mama untuk bertanyakan khabar Ayah. Jam 1.30 ptg, Mama bagi tahu Ayah dha buka mata masa nurse bersihkan Ayah....Aku sujud syukur dan sangat gembira. Tak sabar nak balik jumpa Ayah. Ye lah, raya pun dah tak lama.

Namun, kita tak dapat menghalang ketentuan Ilahi.......jam 7.30 malam, sejurus sebelum masuk waktu berbuka aku dapat panggilan dari Kak Ngah. Ayah tenat!Aku sungguh terkejut. Aku macam tak boleh nak berfikir. Tadi kan dah ok? Kenapa pulak? Tanpa berbuka, aku balik ke rumah, untuk kemas barang. Cuma tinggal husband dan Ajiq di kedai unutk berbuka.Aku jadi tak tentu arah, betul ke semua ni?

Tepat jam 8.20 malam, Ayah pergi meninggalkan kami. Mama ,Kak Ngah dan Abg Ngah setia disisi sehingga Ayah menghembuskan nafas yang terakhir.Alhamdulillah, Ayah pergi dengan tenang dan dalam Husnul Khotimah, Insya Allah.

Sungguh lain rasanya, kalau biasanya Ayah naik kereta bersama namun kali ini kereta kami dibelakang,mengikuti kereta jenazah .Inilah perjalanan terakhir Ayah, dari hospital menuju ke rumah. Ayah disemadikan pada pagi Sabtu. Alhamdulillah segala urusan berjalan lancar dan mudah.Ramai sahabat handai dan rakan taulan Ayah yang turut serta dalam urusan memandikan, kafan dan membawa ke kubur. Aku sungguh terharu melihatkan rakan-rakan Ayah turut bergenang air mata dan bersedih, sungguh kuat ikatan ukhuwah mereka!

Walaupun sudah hampir sebulan Ayah pergi, tapi seperti baru semalam ia berlaku.Aku masih merasakan Ayah masih ada. Kerinduan ini tidak dapat dibendung!Aku sungguh merasa kehilangan!Hilang tempat bergantung, tempat mengadu, bergurau senda....Tiada lagi orang yang selalu memberikan kata semangat buat aku, orang yang sentiasa mendoakan kejayaan aku, memberi nasihat dan tunjuk ajar....Kehilangan yang tiada golok gantinya...

Aku berdoa agar Allah mencucuri rahmat ke atas roh Ayah dan Ayah ditempatkan di kalangan orang yang beriman.Semoga Ayah tenang disana dan semoga kita akan berjumpa semula di Syurga.

Ayah , tunggu kami ya, Insya Allah, kami akan menyusul nanti......

Alfatihah buat Haji Yob bin Mohd Salleh
10 Februari 1948 - 2 Ogos 2013